Sunday, April 17, 2011

bukan tempat bersenang-lenang

سْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 

Sabda Rasulullah saw, كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
"Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah orang yang asing dan seorang pengembara" -hadith riwayat al-Bukhari


Tika ini, hati ini sangat merindui Baginda saw, dengan setiap sabdanya yang setiasa meruntun perasaan dan meninggalkan bekas di hati. Kalau dulu, jika bangun tidur dalam keadaan tidak yang tak bersedia, tak berselimut, tak puas tidur, maka tidur itu disambung semula untuk mendapatkan bahagian 'nyenyak' yang tak dirasai itu. Tapi kini, hadith Baginda saw yang entah bagaimana muncul semula di benak fikiran, seolah-olah mengingatkan diri ini bahawa, nyenyak itu tidak penting, selesa itu tidak penting. Dunia ini hanya sementara, hanya tempat persinggahan seorang asing yang mengembara ke destinasi akhirat. Justeru jika terbangun dalam keadaan buku-buku bertaburan di atas katil, menyebabkan tidur yang hanya menggunakan separuh katil, tanpa alas kepala, dan tanpa selimut, tidur itu tak perlu disambung. Tak perlu. Cukuplah tidur yang tidak nyenyak itu untuk cas tenaga semula, untuk teruskan ibadah kepada Allah disamping mengumpul bekalan-bekalan sepanjang menuju destinasi akhirat. Tidur seorang pengembara, begitu lah yang sepatutnya. Bukan nak bersenang lenang. Ada objektif yang lebih penting untuk dicapai.



Dalam sebuah hadith lain Rasulullah saw ada menyebut dunia yang kita duduki sekarang adalah ladang tempat bercucuk tanam, yang hasilnya bakal dipetik  di akhirat kelak. Dunia bukan tempat bersenang-lenang, bukan tempat bersuka ria tapi hanya tempat persinggahan semata. Umpama perjalananku dari kampung halaman ke tempat menimba ilmu, dunia itu ibarat R&R. Tempat persinggahan untuk solat, mengisi minyak, makan dan berehat sebentar sebagai pengecas tenaga. Kemudian tanpa berniat untuk bertahan lama di situ, perjalanan akan diteruskan untuk sampai ke destinasi impian. Oh diri, ingatlah hakikat dunia ini hanya permainan dan gurau senda. Tuhanku Tuhanmu jua berfirman:


"Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu" -Muhammad:36


Ada yang lalai walaupun datang dari keluarga beriman, ada yang bertaqwa dan bersungguh-sungguh nak mengimankan keluarga, ada yang suam-suam suku dalam beragama, ada yang tak faham langsung agama tapi tak teringin pun nak ambil tahu, ada yang suka hati nak buat apa macam dunia dia yang punya. Macam dalam drama. Memang betul permainan. Memang betul senda gurau. Hanya dengan iman dan taqwa, dunia yang fana ini dapat diredahi dengan jayanya. Ingatlah. Segala amalan baik atau buruk di dunia akan dicatat walau sebesar zarah sekalipun. Yang buruk akan dibalas dengan satu keburukan, tapi yang baik akan dibalas berganda-ganda kebaikan. Itu janji Allah sendiri. Itu juga tanda Allah sangat sayangkan hambanya. Jadi masih adakah alasan untuk kita bersenang-lenang di dunia?


Hati ini tidak senang. Hati ini kerisauan. Hati ini mengharapkan keampunan Allah atas dosa-dosa lalu. Di masjid, insyaAllah pasti ada ketenangan di situ. Assalamualaikum.



No comments:

Post a Comment