Ramadhan bulan keberkatan.. di awalnya rahmah, di tengah-tengahnya maghfirah, dan di hujungnya kebebasan dari api neraka..
Assalamualaikum wbt.
Tiga hari sudah umat Islam bagi yang di Malaysia mengerjakan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Ingin hamba yang da'if ini berkongsi sedikit peringatan, setakat yang mampu tentang bulan Ramadhan. sebagaimana firman Allah:
"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman" - adz-Dzariyat: 57
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan rahmat dan kasih-Nya, kita dipanjangkan usia untuk berada di awal Ramadhan. Berdoalah semoga Allah panjangkan umur kita agar berjodoh dengan Ramadhan kali ini sehingga menjelangnya Syawal. Agar dapat kita beramal dengan seamal-amalnya, beribadat dengan sepuas-puas hati, meng-topup pahala kita sebanyak mungkin dan di akhir Ramadhan nanti kita lahir sebagai seorang hamba sejati yang lebih tingkat keimanannya dan mendapat rahmat Allah swt. InsyaAllah. Sebagaimana sabda baginda Rasulullah SAW ketika menjelang Ramadhan yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan. Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi" - riwayat Ahmad dan an-Nisai
Sahabat-sahabat ku, hadith ini membawa maksud yang kedatangan Ramadhan adalah peristiwa yang amat bermakna bagi orang mukmin. Ini adalah bulan penuh keberkatan, di mana jalan untuk beramal begitu luas terbentang, jalan mendapat pahala berlipat ganda dipermudahkan, malah jalan ke arah dosa disempitkan. Ini adalah pemberian Allah yang tiada tolok bandingnya. Tanda kasih sayang Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana hanya umat kita yang mendapat peluang begini. Wah.. alhamdulillah.. Jadi apa kita tunggu lagi. Sangatlah rugi andai kita tidak menerima tawaran dan pemberian Allah yang sangat lumayan ini. Hanya sekali dalam setahun. Itu pun belum tentu kita dapat hidup sehingga Ramadhan seterusnya. Tak kan kita tak nak keberkatan lailatul qadar yang lebih baik dari seribu bulan yang bersamaan lebih 83 tahun? Kita pun belum tentu dapat hidup selama itu. Ayuh sahabat-sahabatku, kita tak nak jadi orang yang rugi kan? ;)
Firman Allah lagi,
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" - al-Baqarah:183
Ayat ni disamping menyatakan kewajipan puasa, ia juga menyatakan tujuan ibadah kita iaitu "agar kamu bertaqwa". Maqam taqwa ialah darjah tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang hamba. Orang yang bertaqwa dijanjikan syurga oleh Allah:
"Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya" - al-Qalam:34
Bahkan bukan saja kesenangan di akhirat, orang-orang bertaqwa diberikan Allah kesenangan di dunia lagi. Sebagaimana firman Allah:
"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka" - al-Talaq: 2-3
So jom jom! Apa kita nak buat Ramadhan ni? Jom checklist: :)
1) Bersahur. Yang bukan sekadar untuk makan menambah tenaga bagi menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan jika seseorang merasakan dirinya sudah kuat. Tapi sahur lebih dari itu, ia adalah satu sunnah. Sabda Rasulullah SAW,
"Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggalkan, walau seorang di antaramu hanya meneguk air. Kerana Allah dan para malaikat-Nya akan mengucapkan selawat kepada orang-orang yang bersahur" -riwayat Ahmad
2) 2 rakaat sunat sebelum subuh. Ambillah peluang ketika kita bangun bersahur untuk menunaikan dua rakaat solat tahajjud atau hajat dan berdoalah kepada-Nya yang Maha Mendengar kerana waktu ini adalah waktu yang sangat mustajab untuk berdoa. Atau jika tidak berkesempatan, bersolatlah solat sunat subuh seperti yang disebutkan oleh Nabi SAW:
"Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya" - riwayat Ahmad, Muslim, Tirmizi dan an-Nisa'i
3) Tarawih. Solat ini sangat besar pahalanya seperti hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah r.a.:
"Barangsiapa yang bangun pada malam bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu"
4) Berpuasa dan menjauhi larangan Allah, berusaha menahan nafsu dan bukan sekadar menahan lapar semata-mata. Puasa bukan kerana budaya, bukan kerana adat, bukan kerana manusia, bukan kerana kesihatan, bukan kerana ketiadaan makanan, bukan kerana nak kurus. Tetapi kerana keazaman memenuhi tuntutan iman dan benar-benar mengharapkan keredhaan Allah. Sabda Nabi SAW:
"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengetahui batas-batasnya dan ia menjaga diri dari segala apa yang patut dijaga, dihapuskan dosanya yang sebelumnya" - riwayat Ahmad dan Baihaqi
Antara batas-batas yang perlu dijaga untuk mendapat puasa yang berkualiti:
- menjaga mata dari melihat maksiat dan melakukan maksiat.
- menjaga lisan dari perkataan yang tak keji dan tak bermanfaat dan bergurau yang melampau, apatah lagi mengumpat.
- menjaga telinga dari mendengar apa yang tak baik dari ukuran agama.
- menahan anggota tubuh yang lain dari melakukan dosa especially tangan dan kaki.
- menahan diri dari terlalu banyak makan atau membazir sewaktu berbuka.
- hendaklah hatinya menggantung harap dan takut mengenai diterima atau tidak puasanya hari itu.
5) Membaca al-quran sebagai amalan harian sepanjang bulan Ramadhan. Malah amatlah digalakkan mengkhatam quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan mulia ini.
"Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi umat manusia, penerang kepada petunjuk dan pembeza (antara haq dan batil) -al-Baqarah:185
6) Memberi makan kepada orang lain. Yang mana merupakan satu tugas yang amat mulia. Maka berilah makanan kepada orang berbuka.
Dari Abdullah bin Amr r.a. ia berkata, ketika salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: "Ya rasulullah amalan apakah di dalam Islam yang baik". Rasulullah SAW menjawab: "Memberi makan (orang yang lapar) dan memberi salam kepada orang yang kalian kenal maupun tidak kalian kenal" -riwayat Bukhari
"Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun dari pahalanya" -riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi
7) Bersedekah. Terutamanya untuk saudara-saudara seIslam di Palestin.
"Sedekah itu perisai dan benteng kukuh yang melindungi seseorang dari api neraka" -riwayat Ahmad
8) Banyakkan beristighfar dan mengucap dua kalimah shahadah. Amalan ini dapat membersihkan hati disamping kita bertaubat kepada Allah. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita. amin..
9) Qailulah yakni tidur sekejap sebelum zuhur. Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah SAW ada melakukannya. Malah rahsia disebalik qailulah ini adalah supaya kita kuat untuk bangun qiamullail.
10) Membaca al-Ma'thurat dan banyakkan berzikir (especially bagi wanita-wanita yang uzur yang tidak dapat melakukan amalan lain), bersolat jemaah bagi setiap solat fardhu dan solat tarawih, i'tikaf di masjid, menghadiri majlis ilmu... dsb, dll, etc. ;)
Akhir sekali apa kata kita buat assessment sikit. Penilaian diri sendiri tentang tahap pencapaian amalan kita sepanjang bulan Ramadhan ni. InsyaAllah dengan jadual yang teratur dan perancangan yang rapi, kita akan berjaya capai target peningkatan iman kita sepanjang bulan ni. dan semoga istiqamah ke bulan-bulan selepas ramadhan dan seterusnya, insyaAllah. Semoga mendapat keberkatan dan rahmat kasih sayang Allah. Good luck everyone! :)
sumber rujukan: blog muslim professionals forum, ceramah ustaz Rashidy Jamil ar-Rashid, & a friend of mine :)
No comments:
Post a Comment