Saturday, July 10, 2010

manusia hanya memiliki SATU umur

"Manusia itu hanya memiliki satu umur.
Jika ia menyia-nyiakannya,
maka ia merugi segalanya.
Rugi dunia dan akhirat.
Oleh kerana itu, jika anda berdosa,
kerana dikalahkan syaitan & hawa nafsu,
JANGANLAH BERPUTUS ASA.
Sebab, pintu TAUBAT selalu terbuka,
kurnia Allah selalu diberikan, 
dan nikmat Allah sentiasa dianugerahkan
di pagi dan petang hari." 


- Nasihat Dr A'idh Al-Qarni

Jangan sesekali berputus asa. mungkin kamu tak tahu caranya, mungkin kamu buntu tapi kamu masih ada jalan yang satu. Kamu gagal, dan sangat kesal dan sangat insaf. Kamu cuba menyelamatkan keadaan, kamu cuba menyelamatkan maruah,  kamu cuba menutup aib, kamu cuba mengubah dosa kepada lebih baik, kamu cuba tidak rasa terhina..walau kamu memalukan diri sendiri.. tapi mungkin caramu itu salah. maka Dia tunjukkan cara yang betul, jika kamu berdoa kepada-Nya. memang betul sekali kamu tersilap langkah kalah kepada syaitan dan nafsu, sampai bila-bila ingatan itu tak akan hilang. sampai bila-bila kamu kesal. sampai bila-bila kamu malu, kepada manusia, kepada Allah. mungkin ada cara untuk menutup aibmu itu dengan tidak berkata-kata, tapi ingatan tentang aib itu tak akan luput. kamu terperangkap. kamu silap. kamu kesal. tapi tak guna. mana mungkin kamu bahagia. mana mungkin kamu bersuka ria, dengan ingatan tentang keaibanmu itu..

Benar kata pujangga hidup ini penuh panca roba. membesar dengan kasih sayang tak semestinya kamu bahagia di kemudian hari. bukan semua yang kamu mahukan, kamu akan dapat. bukan semua yang kamu harapkan menjadi kenyataan. redhalah. terimalah. qada' dan qadar yang telah ditetapkan ke atas mu. JANGANLAH BERPUTUS ASA. janganlah lupa kamu masih ada jalan yang satu, yang pasti tidak pernah dan tidak akan mengecewakan kamu. kamu lalai sementara tapi Dia masih dan sentiasa sayangkan kamu. BERUSAHALAH. harungilah sisa hidup sebelum ajalmu mengikut jalan ke arah Nya. hidup hanya sekali, umur hanya satu. pastikan timbangan pahalamu melebihi dosa-dosa yang tak tertanggung balasannya itu. pastikan akhir nanti kiraan pahalamu jauh menjangkaui dosamu. agar nanti kamu mendapat tiket ke syurga Allah. kamu tidak tahu bila ajal bakal datang menjemputmu. usahlah berlengah, usahlah putus asa dahulu, usah mengeluh. Allah menjawab setiap soalanmu jika kamu berdoa kepada-Nya. berdoalah, mohon ingatan busukmu itu luput, mohon Dia berikan yang terbaik dan lebih baik untukmu..insyaAllah..

pohonlah kekuatan dengan hajat. pohonlah petunjuk jalan dengan istikharah. sembahkanlah ketaatanmu dengan tahajjud. doalah kebaikan harian dengan ma'surat. pohonlah diri dipelihara dari maksiat dengan al-Quran. tenangkanlah diri dengan zikrullah.. la takhaf wa la tahzan! innallaha ma'ana..

Jangan berputus asa! Jangan lemah! Jangan jatuh dulu! - ^^!

Thursday, July 8, 2010

kata-kata kita sentiasa diuji

perasan tak yang kata-kata kita sentiasa diuji? perasan tak yang apa yang kita tak nak tiba-tiba bertukar menjadi apa yang kita nak? perasan tak yang kita berbangga-bangga dengan apa yang kita ada tetapi last-last apa yang kita banggakan tu jadi sesuatu yang kita kesalkan? perasan tak?

sesempurna mana pun kita mesti ada jugak ujian yang satu ni. kata-kata kita sentiasa diuji.

"oh aku suka pakai anak tudung nanti tak nampak rambut" tapi last-last dia yang dah tak pakai anak tudung siap bertudung jarang lagi dengan alasan nak menjaga rambut takut serabut.

"oh aku tak suka lelaki yang macam tu, macam ni.." tapi last-last dia yang berkasih dengan lelaki macam tu, dia sayang aku katanya.

"oh aku malu la tengok lelaki perempuan berpeluk-peluk masa dating. diorang tak malu ke?" tapi last-last dia yang buat lebih daripada tu. alasan? ntah.

"oh kekasih aku baik, sopan santun, berbudi pekerti.." tapi last-last semuanya berubah. sama ada si kekasih yang berubah atau dia yang berubah hati atau dua-dua sekali.

perasan tak?

betul memang betul kata-kata kita sentiasa diuji. kadang-kadang kita sedar, tapi kita tak mampu nak ubah. kadang-kadang kita memang tak sedar sampai ada yang tegur tapi dengan macam-macam alasan kita tetap tak mampu nak ubah.

tu la Allah kata, kuat iman ke tak kuat iman, perasan ke tak perasan, kita sentiasa diuji. sama ada dengan perbuatan atau dengan seringkas kata-kata. manusia sentiasa berubah.

oleh tu, kita mesti jaga percakapan kita. cakap hanya yang penting, jangan berbangga-bangga, jangan seronok terlebih. walaupun ada yang tak berniat untuk berbangga-bangga sedikit pun, ujian Allah yang tu tetap ada. kalau tak masakan si ustaz yang hari-hari mengajar di masjid pun diuji benda yang sama, di uji dengan kata-kata dia? jadi kita kena sentiasa beringat.

tetapkan hati kita dengan apa yang kita nak, asalkan benda itu baik, jangan tak tetap pendirian. nak suka berpada-pada, benci pun berpada-pada. pilihlah yang sederhana.

ingat, ujian datang dalam pelbagai bentuk. dan Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu dalam hati kita, walaupun tidak dizahirkan dengan kata-kata. pilihlah jalan yang terbaik berlandaskan syarak. manusia sentiasa berubah, tetapi atas pilihan manusia itu sendiri sama ada nak berubah ke arah yang buruk atau yang lebih baik.

*peringatan buat diri sendiri (terutamanya) dan saudara yang lain.

kita sentiasa layak diuji; konteks insan berkasih

kamu bangun malam mengerjakan ibadah seperti yang dituntut. kamu suka bersedekah kerana itu perintah Allah, kamu sentiasa menjaga hubungan baik dengan orang keliling kerana mentaati perintah Dia. kamu menghadiri majlis-majlis ilmu untuk menambah tabung pahalamu. kamu bertaubat setiap kali melakukan dosa. kamu merasakan Allah menyayangimu kerana kamu hampir perfect dengan amalan-amalanmu siang malam. cuma tinggal satu yang kamu tunggu-tunggu untuk melengkapkan dirimu menjadi muslim/muslimah sempurna iaitu bernikah dengan insan pilihanmu. cuma tinggal itu yang kamu tunggu-tunggu untuk menjauhi dirimu dari maksiat hati, lidah dan anggota. kamu mohon Allah menjauhkan jarak di antara kamu dan pasangan supaya maksiat antara kamu terhindar. kamu dan insan pilihanmu sentiasa ingat-mengingati tentang dosa maksiat bersama. kamu mendakwa menjaga pergaulan kerana Dia. kamu mendakwa menjadi anak yang baik kerana Dia. kamu mendakwa mahukan insan yang terbaik, berilmu, beramal kerana Dia. kamu mendakwa melakukan tugas sebagai seorang anak, seorang kekasih, seorang pelajar, seorang hamba, kerana Dia.


tetapi kamu lupa. ketika kamu tidak bergaul bebas, berusaha menjaga hubungan, berakhlak baik kamu lupa Allah sehingga merasakan kamu harus menerima yang baik-baik sahaja dalam hidup ini. bukan cela, bukan hina. lelaki baik harus lancar menerima perempuan baik. perempuan baik harus lancar menerima lelaki baik. dan kamu terus lalai.


ketika kamu menjaga hubungan baik dengan insan pilihanmu, kamu terlupa kepada Allah dan meletak jangkaan bahawa mencintai sama dengan memiliki. dicintai sama dengan dimiliki.


ketika kamu mentaati, setia, menjaga baik buruk insan pilihanmu, kamu terlupa kepada Allah dan meletakkan jangkaan bahawa itu semua jasa dan ketaatan, jasa mesti dibalas dengan budi dan ketaatan mesti dibalas dengan kesetiaan.


ketika kamu melakukan sesuatu yang manis, istimewa, indah, kamu terlupa kepada Allah dan mengharapkan kebaikan dan keindahan itu dibalas dengan yang setimpal sehingga kamu lupa niat asal, untuk bersama kerana memanjangkan zuriat Allah.


antara manusia yang berlaku baik, dengan manusia yang ikhlas dalam kebaikannya hanya Allah yang Maha Mengetahui. justeru datanglah ujian yang tak disangka-sangka untuk menzahirkan keikhlasan itu.


patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "kami beriman", sedang mereka tidak diuji? [Al-Ankabut 29:2]


maka seorang insan yang merasakan dirinya dianiayai walau dengan kebaikannya, ketahuilah bahawa Allah sedang berbicara kepadamu. bicara untuk menyedarkan kamu, bahawa hati harus puas kerana mengikhlaskan kehambaan kepada-Nya. bukan mengharapkan dan menjangkakan hanya yang terbaik untuk kebaikan yang dilakukan. Allah sedang mengingatkan kamu bahawa kamu sentiasa diuji walau sebaik mana, sesempurna mana hidupmu dan kamu harus menerima dengan redha setiap ketentuan Allah, bukannya asyik menafikan dan merayu simpati mengharapkan apa yang telah hilang darimu kembali seperti sebelum kamu diuji.


penafian (denial) kali pertama mungkin tak mengapa kerana dirimu insan lemah dengan iman yang belum cukup sempurna, kali kedua maka nampaklah kepalsuan keikhlasan kehambaanmu kepada Yang Hak. justeru kembalilah kepadaNya. betulkan niatmu. ingatlah kita sentiasa layak diuji, walau sebaik sebanyak sekuat mana amalan kita. selagi belum sampai tahap di mana nyawa di hujung halqum, maka pintu taubat sentiasa terbuka.


sebaik mana sekalipun ibadah kamu, tanpa JIWA HAMBA segalanya tidak bermakna.


HAMBA sentiasa sedar dirinya dimiliki dan tidak memiliki
HAMBA sentiasa sedar dirinya sentiasa layak diuji
HAMBA sentiasa sedar bahawa lahirnya hanya untuk Dia


dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan tentang diri mereka. mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka [Al-Hasyr 59:19]


kita sentiasa layak diuji kerana kita adalah HAMBA. hancurkanlah rasa memiliki dan redhalah dengan ketentuan Ilahi!

Tuesday, June 1, 2010

Qunut Nazilah

"Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.


Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersolat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur.


Ya Allah, muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di Palestin, di Lubnan, di Iraq, dan di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.


Ya Allah,  selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala macam bala kerana tidak ada sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah"



Saturday, May 29, 2010

kebahagiaan

apakah kebahagiaan? - satu perasaan aman damai dan gembira dari segi aspek fizikal, roh, atau kedua-duanya. ada yang dapat kebahagiaan fizikal sahaja, ada pula yang mendapat roh sahaja dan ada jugak yang memilih kedua-duanya. kedua2nya adalah yang kita nak. tapi bagaimana nak mendapat kebahagiaan? apakah jenis kebahagiaan? ada dua. satu kebahagiaan yang kekal abadi di syurga dan satu lagi kebahagiaan sementara di dunia. islam sendiri adalah kebahagiaan. dengan beribadat seperti membaca al-quran, solat, puasa, bersedekah dsb kita boleh dapat kebahagiaan. contohnya al-quran dan solat dapat menenangkan hati kita, puasa menyihatkan tubuh badan kita, bersedekah melatih kita bersikap syukur. 


syeikh Qutub berkata "hidup bersama al-quran adalah satu nikmat yang mereka tidak mengetahuinya, melainkan bagi mereka yang pernah melaluinya"


bila Allah sayang hamba-Nya Allah akan menguji. namun seorang mukmin yang bertakwa akan sentiasa dalam kebahagiaan kerana nikmat Allah disyukurinya dan setiap dugaan Allah diredhainya. bagi hamba mukmin ini, setiap kebahagiaan ada pada Allah. contohnya seperti orang bercinta. kalau dah hati sayang sangat si kekasih buat salah pun diterima, si kekasih menganiaya pun redha. tapi jangan lupa Allah dah kata, kasih sesama manusia kalau terlalu sayang sangat boleh membawa kepada benci, terlalu benci boleh membawa kepada sayang. so sebagai orang mukmin hendaklah kita bersederhana. jangan sayang sangat sampai apa saja sanggup berkorban dan jangan benci sangat pula sampai memusnahkan kebahagiaan diri. itu bukan bahagia yang sebenarnya. sebaliknya cintalah bersungguh-sungguh kepada cinta yang satu yang sejati dan tidak pernah mengecewakan yakni cinta kepada Allah swt.


bagaimana nak mendapat kebahagiaan? sebab2 wujudnya kebahagiaan ialah:


1) terima hidup seadanya (redha).
dunia ini diciptakan Allah ada jernih ada keruhnya, tapi kamu pula nak bersih dalam semuanya.


2) sentiasa bersyukur.
mampu melihat akhirat itu lebih dari dunia.


3) tidak fikir yang negatif.
jangan terlampau bersedih dengan masa lalu dan jangan terlampau risaukan masa yang akan datang.


4) tidak terlalu terkesan dengan pandangan negatif.
walau kebaikan yang kita lakukan, tidak semua orang akan senang dengan kita. maka carilah bagaimana harus kita menerimanya.


5) selalu berdoa.
untuk mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat, selalu hadirkan diri dengan Allah.


6) berkawan dengan sahabat yang mampu menyokong dan memberi semangat dalam kehidupan.


7) ilmu.
bila hidup dengan berilmu, ia adalah satu kebahagiaan dalam kehidupan.


ruj: http://halaqah.net


oleh itu, sebagai peringatan kepada diri-sendiri terutamanya dan rakan2, marilah kita sama2 mengubah diri kita. semoga kita mendapat kebahagiaan yang kita inginkan, dunia dan akhirat. ampun maaf dipinta andai ada silap dan salah. segala yang baik dari Allah dan segala yang buruk dari kelemahan saya sebagai hamba Allah yang masih berusaha untuk berubah.


wallahu'alam.


*tiada harapan selain Allah*
*tiada idola selain nabi*
*tiada kata seindah al-Quran*
*tiada jalan selurus as-sunnah*
*tiada perjuangan selain Islam*



Thursday, April 15, 2010

doa buatmu..


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat rasul junjungan Rasulullah s.a.w..
Ya Allah…
Dalam perjalanan kehidupan ini telah Engkau jadikan bagiku seorang teman. Sedangkan ia adalah diluar jangkaan dan sangkaan hambaMu ini. Aku tetapkan baginya satu peraturan yang hanya Allah yang akan menentukan segalanya.
Ya Allah ..
Dalam kekalutan itu, dia pergi meninggalkanku dan dititipkan pesanan terakhir buatku. Dimanakah salahku wahai Tuhan dan tunjukkanlah dimana silapku. Jangan Engkau biarkan aku begini tanpa diketahui apakah kesalahan yang telah aku lakukan terhadapnya.
Ya Allah…
Walau apa pun takdirMu keatasku, maka disaat ini aku tahu dia perlukan pertolongan. Oleh itu wahai Tuhan, aku dengan penuh rasa kehambaan yang penuh kehinaan memohon padaMu bagi pihaknya, kerana dia adalah sahabatku.
Ya Allah…
Ampunilah daku dan sahabatku dan masukkanlah kami kedalam rahmatMu dan Engkau adalah Tuhan yang maha penyayang.
Ya Allah…
Jangan Engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan. Dan tiada suatu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya. Tiada suatu dukanya melainkan telah Engkau hilangkan daripadanya. Tiada suatu hutangnya melainkan telah Engkau bayarkannya. Tiada suatu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya. Tiada suatu hajatnya dari keperluan dunia dan akhiratnya yang telah Engkau redhai dan tepat untuknya melainkan telah Engkau tunaikan segalanya baginya wahai Tuhan yang Maha Penyayang.
Ya Allah…
Lindunglah sahabatku dari hilangnya nikmatMu dan berubahnya kesejahteraanMu dan mendadaknya seksaMu dan berbagai macam murkaMu.
Ya Allah…
Sungguhnya aku bermohon kepadaMu tabahkanlah dia dalam menghadapi segala urusan dan kekuatan dalam menerima petunjukMu.
Ya Allah…
Kurniakanlah kepadanya jiwa ketaqwaan dan sucikanlah. Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya.
Ya Allah…
Sungguhnya aku bermohon kepadaMu bagi pihaknya dengan sabaik-baik permintaan, sebaik-baik permohonannya, sebaik-baik kejayaannya dan sebaik-baik pahala baginya. Tetapkanlah untuknya, beratkanlah timbangan kebaikannya. Mantapkanlah imannya, tingkatkanlah darjatnya, terimalah solatnya dan ampunkanlah dosa-dosanya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu tingkat yang tinggi di syurga. Ya Allah perkenankanlah permohonanku.
Ya Allah…
Sungguhnya Engkau mengetahui apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku perlihatkan, maka ampunkanlah kealpaan dan kelalaiannya. Dan Engkau mengetahui segala hajatnya, maka kabulkanlah permohonannya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu keimanan yang selalu mendampingihatinya, dan keyakinan yang kuat sehingga dia mengerti bahawasanya tidak akan menimpa dirinya kecuali apa yang telah Engkau tentukan baginya dan bahawasanya apa sahaja yang telah menimpa dirinya bukanlah semata-mata yang meluputkannya. Dan apa sahaja yang telah meluputkannya bukanlah yang semata-mata menimpa dirinya.
Ya Allah…
Aku bermohon baginya kepadaMu iman yang dia buat cari kebenaran. Cahaya yang dia jadikan ikutan dan rezeki yang dirinya cukupkan. Ya Allah…jadikanlah dia cinta kepadaMu dengan hatinya seluruhnya dan rela kepadaMu dengan segala kemampuan dirinya seluruhnya. Ya Allah… jadikanlah cintanya seluruhnya hanya kepadaMu dan amal perbuatannya seluruhnya hanyalah untuk mencari keredhaanMu.
Ya Allah…
Apa sahaja yang Engkau jauhkan darinya dari hal-hal yang dia cintai, jadikanlah hal itu sebagai penguat untuknya mencintai apa yang Engkau cintai dan jadikanlah cintanya kepadaMu sebagaimana Engkau mencintai.
Ya Allah…
Cukuplah diriMu bagiku, tiada Tuhan selain Engkau. Hanya kepadaMu aku bertawakal. Dan Engkaulah Tuhan yang memiliki arasy yang agung. AMIN ya rabbal alamin.....

Tuesday, April 6, 2010

Jawapan Allah :

kenapa semua ini terjadi kepadaku?


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui"
al-Baqarah:216


kenapa berat sangat ujian ini?


"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya"
al-Baqarah:286


hidupku sudah tiada makna lagi...


"Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dia jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani"
az-Zumar 39:53


"Janganlah kamu bersikap lemah,dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman"
al-Imran:139


aku tiada harapan lagi. kepada siapa untuk aku berharap?


"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada tuhan selain dariNya. hanya kepadaNya aku bertawakal"
at-Taubah:129


bagaimana harus aku menghadapi semua ini?


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
al-Baqarah:45


ya Allah, berimankah aku?


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan "kami telah beriman" sedangkan  mereka tidak diuji? dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta"
al-Ankabut:2,3